Ketua jurulatih pasukan TRW Kelantan, Frank Bernhardt menyuarakan kekecewaan beliau terhadap prestasi hambar yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya.

Baru-baru ini, Kelantan tewas dengan keputusan 3-2 ketika berdepan Perak dalam saingan Liga Super 2023 dan Bernhardt nyata kecewa dengan peluang yang disia-siakan oleh pemainnya.

“Saya tak tahu macam mana nak jelaskan. Peluang yang dimiliki adalah jarak yang mana budak pun boleh jaringkan gol,” kata Bernhardt.

Sebelum ini, pemilik pasukan, Norizam Tukiman atau Zamsaham meletakkan KPI ke atas Frank Bernhardt dimana sekiranya Kelantan tewas sebanyak lima kali, maka bekas ketua jurulatih UiTM FC itu akan dipecat.

“Saya beritahu Frank Benhardt, saya tahu prestasi kamu dekat UiTM FC, kamu adalah jurulatih profesional, jadi saya harap kamu capai sasaran KPI kita tahun ini.

“Kalau tak capai, kita akan tukar [jurulatih lagi]. Takkanlah kita nak buat bodoh sahaja kalau dia tak capai sasaran ditetapkan. Tetapi dalam kontrak beliau [Berhardt], kalau dia kalah 5 kali, maka kita akan tukar,” katanya.

Bernhardt menggantikan ketua jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik yang dipecat ekoran prestasi kurang baik dalam saingan Liga Super sebelum ini.